Friday, November 01, 2013

Air Itam terbanyak, 2,268 terima sumbangan Pelajar Emas

Air Itam terbanyak, 2,268 terima sumbangan Pelajar Emas



AIR ITAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai berkata, kawasannya sekali lagi direkodkan sebagai penerima skim pelajar emas terbanyak di negeri ini bagi sesi pertama pemberian tahun 2013, iaitu sebanyak 2,268 orang.

“Bagi rekod, ini merupakan kali kedua Air Itam muncul pelajar sekolah terbanyak bagi kawasan-kawasan seluruh negeri Pulau Pinang ini, mungkin disebabkan ianya mengandungi 15 buah sekolah di kawasan ini, termasuk satu milik persendirian,” ujar Hon Wai di sini baru-baru ini.

Menurut Hon Wai, proses pemberian sumbangan emas kepada pelajar-pelajar berkenaan pada kali ini mendapat sambutan hangat, berdasarkan maklum balas Pegawai Bank berwajib.

“Saya turut difahamkan oleh Pegawai Bank bertugas, program ini mendapat sambutan hangat di mana sejak (bank) dibuka kepada ibu bapa pada 10.00 pagi untuk mengambil skim ini, lebih dari 100 orang sudah datang ke sini,” tambah beliau lagi.

Justeru, Hon Wai menasihatkan semua waris pelajar yang masih belum mengambil sumbangan tersebut supaya segera membuat tuntutan masing-masing dalam masa 11 hari yang ditetapkan, iaitu dari 21 Oktober sehingga 1 November depan.

Sementara itu, Zarinah Noordin, 40, ibu kepada Ahmad Ali Nasser, 7, melahirkan rasa syukur atas sumbangan emas yang diterima.

“Saya amat berterima kasih kerana dapat sumbangan yang sebegini, namun, saya akan menyimpan terlebih dahulu duit ini dan akan menggunakanya untuk sesi persekolahan yang akan datang kelak,” ujar beliau..

Nada yang sama turut diluahkan oleh Aziman Singah, 35, iaitu waris kepada Johannes Michelin, 7.

“Dia merupakan anak sulong saya dan bantuan ini sudah tentulah akan digunakan untuk membiayai persekolahan Johannes seperti pakaian dan keperluan-keperluan lain yang difikirkan perlu atau sekurang-kurangnya menambah bajet yang kurang untuk sesi persekolahan tahun depan,” jelas mekanik kepada tiga cahaya mata itu.

Bagi Azmi Jaafar, 43, beliau merakamkan penghargaan atas pemberian kedua kepada anaknya, selepas seorang lagi anaknya yang berada di tingkatan empat turut menerima skim serupa pada tahun lepas.

“Saya mungkin akan menyimpan sedikit wang ini ke dalam akaun anak saya Mohd Nor Farhan, 10 tahun bagi kegunaannya di masa depan, manakala, bakinya saya akan gunakan bagi membeli pakaian sekolah dia apabila semester baru yang akan bermula tahun hadapan,” ujar ayah kepada pelajar yang belajar di Sekolah Kebangsaan Seri Aman, Paya Terubong itu baru-baru ini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperkenalkan skim Pelajar Emas dengan memberi RM100 tiap-tiap tahun kepada pelajar Darjah Satu dan Empat, serta Tingkatan Satu dan Empat kepada waris yang memohon sumbangan tersebut sahaja.

Permohonan boleh dibuat di Pusat Khidmat ADUN, Pusat Khidmat Penyelaras KADUN, Pejabat Daerah atau di Komtar (Tingkat 45).



 JOHANNES Michelin (tiga dari kiri) menunjukkan RM100 yang diperolehi beliau sambil ditemani Wong Hon Wai (dua dari kiri) dan Aziman Singah (kanan sekali) serta seorang pemimpin setempat (kiri sekali) di sini baru-baru ini.

No comments: